KOTA KINABALU 29 April - Bahagian Perumahan dan Kebajikan Pelajar (BPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan bengkel kebersihan dan keselamatan kafeteria baru-baru ini.
Bengkel yang diadakan di Beringgis Beach Resort, Papar itu disertai oleh seramai 46 peserta yang terdiri daripada pegawai BPKP Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan (SSMP), pengetua-pengetua kolej kediaman dan Exco Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) UMS.
Pengerusi penganjur, Mat Usup Rasid berkata, bengkel itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada para peserta untuk memahami dan menimba pengetahuan baru berkenaan kebersihan dan keselamatan kafeteria.
"Ia sejajar dengan matlamat BPKP yang mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar yang merupakan pelanggan utama kepada kafeteria yang ada di UMS," katanya di sini baru-baru ini.
Bengkel selama tiga hari itu dikendalikan oleh penceramah dari Jabatan Kesihatan Negeri.
Mat Usup berkata, antara topik yang dibincangkan dalam bengkel itu adalah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kafeteria, Perolehan dan Sebut Harga Tender, Perundangan dan Tatatertib, Kebersihan serta Bidang Kuasa Kafeteria.
Sementara itu, Dekan SSMP, Prof. Dr. Sharifudin Md.Shaarani berkata, melalui peraturan-peraturan kafeteria yang dibincangkan dalam bengkel tersebut diharap dapat meningkatkan lagi perkhidmatan kafeteria sama ada dari segi pengurusan makanan, pekerja mahupun jaminan persekitaran yang bersih dan selamat.
Menurutnya, satu resolusi berjaya dicapai hasil perbahasan para peserta bengkel khususnya dalam memberi jalan penyelesaian mengenai masalah yang sering dihadapi dalam pengurusan kafeteria.
Sumber: Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan