MDeC bakal beri geran RM1.9 juta
Multimedia Development Corporation (MDeC) bakal memberikan geran bernilai RM1.9 juta kepada syarikat-syarikat multimedia dan individu yang layak untuk menghasilkan kandungan bertaraf antarabangsa berlandaskan elemen kebudayaan, sejarah dan sosial Malaysia.
MDeC di dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, penggiat multimedia kreatif boleh menyertai Cabaran Pereka Harta Intelek Malaysia 2011 (2011) yang bertemakan 'Malaysiana' dengan menghantar idea mereka kepada urus setia bermula 26 April sehingga 8 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif, MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MSC Malaysia dan Cabaran Pereka Harta Intelektual (IPCC) mencari 50 idea bernas untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya.
"IPCC adalah satu platform untuk mengenal pasti dan membangunkan harta intelek tempatan, selain itu, kami juga bangga melihat rangka kerja berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab industri kreatif pada masa akan datang," katanya.
Seramai 20 peserta yang layak di bidang animasi akan menerima RM50,000 seorang untuk membuat animasi selama tiga minit.
Manakala 10 lagi peserta di bidang permainan komputer kasual akan menerima RM50,000 seorang untuk membangunkan permainan komputer yang mempunyai nilai komersial.
Seramai 20 peserta di bidang komik interaktif digital pula akan menerima RM20,000 seorang untuk menerbitkan komik setebal 40 muka surat dan komik interaktif digital.
Sumber: Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan